Tuesday, 29 January 2013

Mengapa pegawai tidak digalakkan memohon cuti rehat jika tidak mempunyai baki cuti?



SITUASI
Masalah pegawai memohon cuti rehat tetapi belum mempunyai tempoh perkhidmatan yang melayakkan untuk bercuti, ketara berlaku pada akhir tahun. Sebagai contoh pegawai tidak mempunyai baki cuti bagi tahun 2009 tetapi sudah mahu bercuti pada Januari 2010. Sebaiknya pegawai berkhidmat dahulu pada Januari 2010 kemudian barulah memohon untuk bercuti. Tempoh yang digalakkan untuk memohon cuti pada Januari 2010 ialah selepas 15.1.2010. Mengapa pegawai tidak digalakkan memohon cuti rehat jika tidak mempunyai baki cuti? Berikut antara sebabnya:

i.             Pegawai belum berkhidmat atau memberi apa-apa sumbangan kepada jabatan
ii.            Pegawai baru dilantik, dalam tempoh percubaan dan belum disahkan dalam perkhidmatan
iii.           Pegawai yang belum disahkan dalam perkhidmatan biasanya mudah meninggalkan jabatan
iv.           Kawalan untuk mengelakkan pegawai mengambil cuti melebihi kelayakan untuk sesuatu bulan
v.            Mengelakkan masalah kutipan balik emolumen disebabkan pegawai meletak jawatan secara tiba-tiba

Jika terdapat keperluan yang sangat mendesak untuk bercuti dan jika tidak dibenarkan pegawai terjerumus masalah tidak hadir bertugas tanpa kebenaran, eloklah pegawai dibenarkan memohon cuti dan mendapat kelulusan. Namun, kelulusan tetap di tangan ketua kepada pegawai itu. Walaupun pihak JPA menyatakan tiada masalah pegawai hendak menggunakan cuti tahunannya tetapi kawalan dalaman sangat perlu bagi mengelakkan timbul bermacam-macam keadaan yang membelakangkan peraturan. Bijaklah mengurus cuti (kemudahan yang diberi kerajaan) setiap tahun supaya ia benar-benar memudahkan kita mengurus hal peribadi yang timbul sepanjang tempoh setahun perkhidmatan kita. Jangan sampai berlaku kebuntuan dan rintihan disebabkan kegagalan mengurus cuti sangat hampir dengan tindakan berdasarkan PA 14A(a) Bab C dan Bahagian III Akta 605.

Ingat:

C.U.T.I
Cuti bukanlah hak tapi sering disalah anggap
Untuk boleh bercuti kelulusan sangat diharap
Tidaklah kita dituduh tidak peka tidak cekap
Ini semua bergantung pada sikap


Aku: Emel bertarikh Thu 24/12/2009 2:10 PM


Friday, 25 January 2013

Kongsi Tentang GCR

Oleh sebab PP 23/2009 telah membatalkan PP 2/1980 pemakaian untuk Pihak Berkuasa Berkanun (Badan Berkanun Persekutuan) seperti MQA ini terfokus pada Perkara 7(j), 8(b) dan 13 tentang perlunya peletakan jawatan dan pelepasan dengan izin. Apabila merujuk peraturan berkaitan kelayakan cuti dan GCR yang telah dikumpul ketetapannya seolah-olah fokus secara langsung kepada takrif ‘perkhidmatan awam’ dalam Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Pihak Berkuasa Berkanun tidak termasuk takrif tersebut.

Cuma persoalannya ialah adakah disebabkan pegawai diluluskan pertukaran pelantikan PP 17/2002 kelayakan cuti dan GCR pegawai tidak terjejas kerana pekeliling ini memang peruntukan untuk permohonan pegawai ke jawatan dalam skim perkhidmatan yang sama yang berada bawah PBM yang lain? Tambahan pula PP 17/2002 mentakrifkan Pihak Berkuasa Berkanun sebagai  ‘agensi awam.’ Persoalan tentang kebenaran membawa kelayakan cuti dan GCR apabila bertukar PBM berdasarkan PP 17/2002 perlu semakan lanjut.

Perkara 3 muka surat 3 PP 7/2003 : Pengumpulan cuti (90 hari) dalam Peraturan 21 Peraturan-peraturan Pencen 1980
Perkara 6 muka surat 3 PP 7/2003 : Jumlah keseluruhan cuti rehat yang dibenar dikumpul bagi GCR sepanjang perkhidmatannya hendaklah tidak melebihi 120 hari
Perkara 4 muka surat 2 PP 18/2008 : Di bawah pekeliling perkhidmatan ini, maksimum cuti rehat dan cuti rehat khas yang boleh dikumpul bagi GCR ialah sebanyak 150 hari berkuat kuasa pada 1 Januari 2009


SOALAN LAZIM GCR

SOALAN 1
Bolehkah GCR digunakan?

JAWAPAN 
GCR boleh digunakan tetapi tidak digalakkan. Jika hendak guna GCR untuk menampung terlebih/kesilapan cuti seeloknya menggunakan GCR yang dikumpul pada tahun yang sama.

i.                    GCR bagi sesuatu tahun boleh digunakan apabila semasa semakan pada akhir sesuatu tahun didapati cuti yang diambil terlebih dan cuti terlebih itu boleh ditampung menggunakan GCR.
ii.                  Pada tahun persaraan, GCR yang telah dikumpul sepanjang perkhidmatan akan digunakan untuk menampung cuti yang terlebih ambil sepanjang perkhidmatan.
iii.                Pihak BPSM pernah ‘menyelamatkan’ rekod cuti seorang pegawai yang silap pengurusan cutinya menggunakan GCR. Kesilapan yang berlaku ialah pegawai ini didapati telah menggunakan cuti in advance (cuti tahun depan digunakan pada tahun semasa).

SOALAN 2
Bagaimana jika seseorang pegawai hendak menggunakan GCR yang telah dikumpul?

JAWAPAN
GCR yang direkod pada Kenyataan Cuti dalam Buku Perkhidmatan dipotong dan menurunkan parap (initial).


SOALAN 3
GCR hanya boleh dikumpul dan digunakan pada tahun yang sama. Apa maksud ‘tahun yang sama’?

JAWAPAN
Maksud ‘tahun yang sama’ seperti contoh berikut.

REKOD CUTI SARIMAH KASIM PT (P/O) N17 BAGI TAHUN 2009
Nama
Cuti tahun lepas (A)
Cuti layak (B)
Jumlah cuti layak (A+B) (C)
Jumlah cuti diambil (D)
Baki cuti
(C-D) (E)
Cuti bawa ke hadapan
Cuti bagi GCR
Sarimah Kasim
5
20
25
22
3
0
3
Apabila disemak pada akhir tahun, cuti yang telah diambil oleh kakitangan tersebut rupa-rupanya 24 hari. Maka cuti yang telah dikumpul untuk GCR bagi tahun 2009 boleh digunakan untuk menampung cuti terlebih ambil sebanyak 2 hari pada tahun 2009.


SOALAN 4
Bukankah GCR dikumpul pada tahun sebelumnya dan pegawai akan menerima cuti tahunan pada tahun berikutnya. Jadi bagaimanakah GCR tahun sebelumnya digunakan?

JAWAPAN
GCR tahun sebelumnya digunakan untuk menampung masalah cuti bagi ‘tahun yang sama.’ Kelayakan cuti pada tahun akan datang tidak boleh digunakan untuk menampung masalah cuti pada tahun semasa.


SOALAN 5
Bolehkah jelaskan kenyataan berikut:

 Jika ada pegawai yang belum disahkan dalam perkhidmatan tetapi hendak mengumpul GCR dia haruslah:

i.        Setia kepada Jabatan mulai disahkan dalam perkhidmatan sehinggalah punah bakti (pencen) kerana GCR hanya akan dibayar agensi terakhir pegawai berkhidmat.
ii.      Tidak berasa kecewa sekiranya bertukar ke jabatan lain (disebabkan masih mencari-cari peluang ke jabatan lain walaupun telah dilantik Jabatan) dan GCR yang telah dikumpul sejak sebelum disahkan dalam perkhidmatan dikira luput (tidak boleh dibawa ke jabatan baru).
iii.    Sesungguhnya GCR dan tambahan cuti 5 hari (PP 4/2002 dan PP 20/2005) kerana genap berkhidmat 10 tahun bawah pihak berkuasa melantik sama tidak dibawa apabila pegawai bertukar pihak berkuasa melantik.

JAWAPAN
Ia mempunyai penerangan yang lebih sempurna jika dirujuk pada Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan yang sedang disemak maksud ‘perkhidmatan awam.’ Secara ringkas maksud kenyataan ini ialah jika seseorang warga Jabatan bertukar perkhidmatan kerana berjaya ditawarkan pelantikan ke jawatan lain di agensi lain, warga ini tidak boleh membawa GCR yang sudah dikumpul sepanjang perkhidmatan di Jabatan. Warga ini juga dikira tahun pertama di agensi baru. Tambahan 5 hari cuti sekiranya telah memperoleh semasa di Jabatan, turut tidak boleh dibawa. Apa yang mengagregatkan perkhidmatan lepas ke perkhidmatan baru ialah kelulusan pelepasan dengan izin yang dipohon semasa meletak jawatan (PP 23/2009). Kenyataan ini timbul apabila warga yang belum disahkan dalam perkhidmatan teringin mula mengumpul GCR.


Aku: Emel bertarikh Thu 10/12/2009 5:36 PM
 

Thursday, 24 January 2013

deraf atau draf, pelan atau plan, pruf atau galei


Deraf - tiada dalam kamus

Kamus Dewan m/s 315
Draf
1.     tulisan atau lukisan yang dibuat secara kasar yang perlu dibaiki dan dihalusi lagi
2.     perintah bertulis untuk bayaran wang oleh bank terutamanya dari satu bank ke bank lain
Perkataan draf boleh menerima imbuhan mendaraf dan mendrafkan


Kamus Dewan m/s 1059
Pruf - cetakan percubaan yang perlu dibandingkan dengan manuskrip asal untuk meneliti kesalahan cetak
Kamus Dewan m/s 363
Galei = pruf galei - pruf cetakan pada kertas panjang untuk diteliti dan dibuat pembetulan sebelum dipotong-potong mengikut ukuran muka surat yang dikehendaki


Plan - tiada dalam bahasa Malaysia tetapi ia perkataan bahasa Inggeris
English
Malay
to plan

plan

ground-plan


Kamus Dewan m/s 998
Pelan  I - perlahan
Pelan II
1. rajah yang menggambarkan bentuk sesuatu bangunan
2. rancangan yang sudah diatur untuk dilaksanakan 


 Aku: Emel bertarikh Thu 10/12/2009 4:49 PM


5S - Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

Semasa kita melaksanakan 5S perlu juga mengambil kira ‘keselamatan dan kesihatan’ warga Jabatan. ‘Keselamatan dan kesihatan’ di sini bukan bermaksud bahaya peralatan jentera atau bahan kimia tetapi ‘keselamatan dan kesihatan’ dari segi keselesaan susun atur ruang kerja. Ini kerana mungkin terdapat warga Jabatan tidak selesa dengan kedudukan monitor di atas meja atau mungkin ada warga Jabatan terpaksa duduk di bawah lubang angin pendingin hawa atau mungkin kedudukan telefon yang jauh menyukarkan ia dicapai.

Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Akta 514) yang dikeluarkan Kementerian Sumber Manusia menumpukan pekerja contohnya di sektor perkilangan dan pembinaan. Panduan daripada United State Department of Labor tentang ‘keselamatan dan kesihatan’ (Occupational Safety And Health Administration {OSHA}) boleh dirujuk jika bersesuaian. Tulisan ini juga lanjutan daripada pandangan yang diperoleh untuk difikirkan bersama.


PETIKAN DARIPADA NOTA OSHA
Put monitor directly in front of you and at least 20 inches away
Bahasa mudah : Monitor 20 inci jaraknya di hadapan kita

Put the keyboard directly in front of you
Bahasa mudah : Letak keyboard di hadapan kita

Keep the pointer/mouse close to the keyboard
Bahasa mudah : Letak mouse dekat dengan keyboard

Use a wrist rest to maintain straight wrist postures and to minimize contact stress during typing and mousing tasks
Bahasa mudah : Guna alat yang boleh kita letakkan pergelangan tangan dengan selesa semasa menaip

Documents should be at the same height and distance as the monitor
Bahasa mudah : Dokumen yang ditaip sama tinggi dengan monitor

Avoid storing items, such as a CPU, under desks
Bahasa mudah : Elak meletak barang di bawah meja

The seat should be comfortable and allow your feet to rest flat on the floor or footrest
Bahasa mudah : Kerusi yang menyelesakan dan kaki boleh berpijak di atas lantai

Keep telephone close enough to avoid repeated reaching
Bahasa mudah : Letak telefon berdekatan supaya mudah dicapai

Avoid sitting directly under air conditioning vents that "dump" air right on top of you
Bahasa mudah : Elak duduk di bawah lubang angin pendingin hawa


Aku: Emel bertarikh Wed 02/12/2009 8:25 AM

 

Notis Peletakan Jawatan



Perbualan telefon dengan pegawai JPA Cik Siti Raihana Mohd Fadzil PP(S)S1B di talian  03-8885 4791 pada 9.6.2009


SOALAN : Bolehkah tempoh notis peletakan jawatan bermula pada hari cuti sama ada Sabtu, Ahad atau cuti umum?

JAWAPAN : Pegawai boleh mengemukakan permohonan notis peletakan jawatan walaupun bermula pada hari Sabtu, Ahad atau cuti umum kerana pegawai dibayar gaji untuk tempoh sebulan termasuk hari-hari cuti. Sesungguhnya Ketua Jabatan berhak memanggil pegawai bertugas walaupun ia sedang cuti.


CONTOH 1 – PEGAWAI TETAP SUDAH DISAHKAN DALAM PERKHIDMATAN

PILIHAN 1
Pegawai dilantik tetap dan telah disahkan dalam perkhidmatan. Beliau hendak mengemukakan permohonan peletakan jawatan 90 hari mulai 6.6.2009 hingga 3.9.2009 – Peraturan 51(1)(c) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2005 (P.U.{A} 176/2005)

PILIHAN 2
Pegawai dilantik tetap dan telah disahkan dalam perkhidmatan. Beliau hendak mengemukakan permohonan pemendekan tempoh notis peletakan jawatan daripada 90 hari kepada 30 hari mulai 6.6.2009 kepada 5.7.2009 – Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 1980 dan Peraturan 53(a) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2005 (P.U.{A} 176/2005)

PILIHAN 3
Pegawai dilantik tetap dan telah disahkan dalam perkhidmatan. Beliau hendak mengemukakan permohonan peletakan jawatan dengan membayar sebulan gaji sebagai ganti notis dan peletakan jawatan adalah berkuat kuasa pada 6.7.2009. Maka tempoh sebulan gaji dikira dari 6.6.2009 hingga 5.7.2009 – Peraturan 51(1)(c)  Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2005 (P.U.{A} 176/2005)


CONTOH 2 – PEGAWAI TETAP BELUM DISAHKAN DALAM PERKHIDMATAN

PILIHAN 1
Pegawai dilantik tetap tetapi belum disahkan dalam perkhidmatan bermakna masih dalam tempoh percubaan. Beliau hendak mengemukakan permohonan peletakan jawatan 30 hari mulai 6.6.2009 hingga 5.7.2009 – Peraturan 51(1)(b) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2005 (P.U.{A} 176/2005)

PILIHAN 2
Pegawai dilantik tetap tetapi belum disahkan dalam perkhidmatan bermakna masih dalam tempoh percubaan. Beliau hendak mengemukakan permohonan pemendekan tempoh notis peletakan jawatan daripada 30 hari kepada 15 hari mulai 6.6.2009 kepada 20.6.2009 – Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 1980 dan Peraturan 53(a) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2005 (P.U.{A} 176/2005)

PILIHAN 3
Pegawai dilantik tetap tetapi belum disahkan dalam perkhidmatan bermakna masih dalam tempoh percubaan. Beliau hendak mengemukakan permohonan peletakan jawatan dengan membayar sebulan gaji sebagai ganti notis dan peletakan jawatan adalah berkuat kuasa pada 6.7.2009. Maka tempoh sebulan gaji dikira dari 6.6.2009 hingga 5.7.2009 – Peraturan 51(1)(b)  Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2005 (P.U.{A} 176/2005)
 

CONTOH 3 – PEGAWAI DILANTIK SELAIN PELANTIKAN TETAP

PILIHAN 1
Pegawai dilantik kontrak. Ini bermakna notis peletakan jawatan beliau berdasarkan syarat pelantikan kontrak contohnya 30 hari. Maka notis bermula 6.6.2009 hingga 5.7.2009 – Peraturan 51(1)(a) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2005 (P.U.{A} 176/2005)

PILIHAN 2
Pegawai dilantik kontrak. Ini bermakna notis peletakan jawatan beliau berdasarkan syarat pelantikan kontrak contohnya 30 hari tetapi pegawai hendak mengemukakan permohonan peletakan jawatan dengan membayar sebulan gaji sebagai ganti notis. Notis pula berkuat kuasa pada 6.7.2009. Maka tempoh sebulan gaji dikira dari 6.6.2009 hingga 5.7.2009 – Peraturan 51(1)(a)  Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2005 (P.U.{A} 176/2005)

PILIHAN 3
Pegawai dilantik kontrak. Ini bermakna notis peletakan jawatan beliau berdasarkan syarat pelantikan kontrak contohnya 30 hari tetapi pegawai mengemukakan permohonan pemendekan notis peletakan jawatan. Ketua Jabatan boleh mempertimbang permohonan pemendekan notis penamatan kontrak dan dengan itu pegawai akan dikecualikan membayar sebulan gaji sebagai ganti notis jika pegawai ditawarkan pelantikan lain dalam sektor awam atau ditawarkan kursus praperkhidmatan dalam sektor awam – Perkara 58 Bahagian VII Penamatan Kontrak, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2008
 

Aku: Emel bertarikh Fri 06/11/2009 8:40 AM